Setiap makhluk yang bernyawa pasti mati. Perkara kematian adalah pasti dan semua manusia pasti melaluinya. Mungkin sebelum ini, kita pernah mengeringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan. Sudah tentu suasana hiba dan penuh sayu menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah berkenaan ke tanah perkuburan. Yang sudah mati akan berhadapan dengan Allah, tetapi kita yang masih hidup yang mengiringi jenazah itu bagaimana? Tidakkah terlintas di sanubari menginsafi diri yang suatu ketika nanti beginilah keadaannya apabila sekujur tubuh tanpa nyawa diusung dalam keranda ke tanah perkuburan! Sepatutnya inilah detik yang membuka ruang keinsafan lalu bermuhasabah diri demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan. Seharusnya ketika itulah saat paling murni buat sesiapa saja yang mengiringi jenazah itu membayangkan beginilah diriku yang akan diusung apabila aku mati kelak. Alangkah indahnya jika kematian membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah. Janganlah hendaknya timbul gelak ketawa dan suara hiruk pikuk hingga peristiwa kematian menjadi peristiwa biasa sahaja. Janganlah kawan, marilah kita ambil pengajarannya untuk membaik pulih diri. Ingatlah duhai sahabat, kematian itu datang secara tiba-tiba tetapi tanda dan amaran mengenai kematian sentiasa dijelmakan secara jelas dan nyata. Jadi apa perlunya menangguhkan taubat? Mengapa liat dan lalai bermuhasabah diri? Jika kita masih lalai dan seolah-olah melupakan kematian bermakna pengalaman kita mengiringi jenazah tidak memberi makna.
Why I English
2 months ago
0 comments:
Post a Comment